PERSIAPAN MENGHADAPAI MUSIM TENGKUJUH - PEMVAKSINAN
Adalah diketahui umum bahawa ternakan kambing sangat alah terhadap cuaca lembap (high humidity), di mana cuaca lembap berterusan boleh membawa kepada serangan pneumonia yang boleh mengakibatkan kematian. Bahkan di negara kita, serangan pneumonia adalah merupakan antara penyebab utama kematian ternakan kambing, selain dari serangan parasit.
Berdasarkan pengalaman sendiri serta pengalaman penternak lain yang telah lama berkecimpung di dalam bidang penternakan kambing, musim hujan berpanjangan seperti musim tengkujuh merupakan tempoh di mana kadar kematian ternakan kambing adalah di tahap paling tinggi. Ia mudah merebak di kandang yang terletak di lokasi di mana peredaran udara adalah terhad, seperti di kawasan lembah. Keadaan udara yang lembap di musim hujan/tengkujuh pula menghadkan lagi pergerakan udara kerana udara menjadi bertambah berat dengan kandungan wap air. Jadi, persiapan adalah perlu untuk mengelak atau mengurangkan kerugian akibat kematian di musim tengkujuh.
Pneumonia adalah disebabkan oleh serangan bakteria 'pasteurella'. Biasanya ternakan yang mengalami serangan 'pasteurellosis' mati secara agak mengejut, walaupun sihat dan kelihatan cergas sehari sebelumya, ia tiba-tiba menjadi murung dan hilang selera makan dalam tempoh 24 jam. Sejurus sebelum kematian. ternakan menunjukkan tanda seolah-olah mengalami kekejangan otot-otot kaki. Kadang-kadang juga hilang kawalan diri dan menanduk-nanduk kandang dan bertindak tidak tentu hala.
Persiapan utama menghadapi serangan pasteurella adalah dengan memberikan pelalian/pemvaksinan kepada kesemua ternakan kambing. Kami mengesyorkan penggunaan vaksin 'Heptavac-P'. Vaksin ini harus diberi sewaktu ternakan berada di dalam keadaan sihat dan cergas, iaitu sebelum bermulanya musim hujan/tengkujuh.
Heptavac-P diberi dalam 2 dos iaitu Dos Permulaan (2mL) serta Dos Booster (juga 2mL). Dos Booster pertama diberi 4-6 minggu selepas Dos Permulaan, manakala Dos Booster seterusnya adalah diberi sekali di dalam tempoh 12 bulan.
InsyaAllah dengan mengamalkan pelalian terhadap bakteria pasteurella ini, risiko kematian ternakan kambing akibat gejala pneumonia yang merupakan pembunuh utama dapat dikurangkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan komen anda disini