Kecacing Pada Ternakan Ruminan
Cacing parasit yang hadir dalam badan ternakan memudaratkan 'host'nya dengan 2 cara:
1. menyerap aliran protin dalam perut/usus
2. menghisap darah
Cacing yang menyerap protin memudaratkan ternakan host dalam jangka panjang. Host akan beransur-ansur menjadi kurus akibat kekurangan protin, semakin lemah hari demi hari, mengalami anemia (kekurangan darah merah), dan akhirnya mati jika tidak dirawat. Kambing yang menghadapi masaalah parasit sebegini biasanya dapat dikesan berdasarkan keadaan fizikalnya iaitu kurus kering, kurang bertenaga, serta gusi dan kelopak mata menjadi pucat.
Cacing yang menghisap darah pula adalah sangat merbahaya kerana boleh membawa kematian dalam jangkamasa yang singkat, misalnya kurang dari 24 jam. Kematian mengejut berlaku apabila telur cacing yang berada di dalam badan host berkembang dan bertukar menjadi sekumpulan cacing dewasa yang menghisap darah dengan banyak secara serentak, lalu menyebabkan kambing kehilangan darah secara mengejut ('bleeding'). Serangan sebegini gagal dikesan oleh penternak kerana kambing tidak sempat menunjukkan gejala kecacingan seperti kes di atas.
Tanda-tanda kehadiran cacing adalah:
1. Kurus-kering - cacing menghisap darah dan protin, menyebabkan kambning menjadi kurus kering.
2. Kelopak mata kelihatan pucat.
3. Gusi kelihatan pucat
4. Dagu bawah membengkak(bottle jaw)
Jenis-jenis Cacing
a. Cacing Perut (Stomach Worms):
Terdapat 3 jenis cacing perut yang selalu menyerang ternakan kambing iaitu:
1. Barbers pole worm (Haemonchus contortus)
2. Black scour worm (Trichostrongylus species)
3. Brown stomach worm (Ostertagia species)
Barbers pole worm (Haemonchus contortus)
Merupakan cacing yang paling biasa didapati menyerang kambing dan sangat merbahaya. Ia tinggal di dalam "perut benar" kambing (Abomasum) dan merupakan cacing penghisap darah di mana ia menghisap darah di dalam lapisan perut. Sangat merbahaya dan boleh membawa kematian sekiranya tidak dikawal. Bagi kambing yang menjadi perumah bagi telur cacing ini, apabila telur menjadi cacing dewasa dalam kuantiti yang banyak dan mula menghisap darah secara serentak, akan kehilangan darah yang banyak dalam tempoh yang singkat, kambing ini berkemungkinan akan mengalami kematian mendadak akibat kekurangan darah.
b. Lain-lain jenis cacing :
Selain dari cacing biasa, terdapat juga cacing berikut yang agak jarang ditemui, tetapi boleh juga merupakan ancaman kepada kambing yang diternak di lokasi tertentu di negara kita umpamanya di kawasan yang terlalu lembab, iaitu:
1. Nodule worm (Oesophagostomum spp)
2. Small lung worm (Muellerius cappillaris)
3. Tape worm (Monezia species) / cacing pita
4. Liver fluke (Fasciola hepatica) / cacing hati
5. Stomach fluke (Paramphistomum species)
6. Thin necked intestinal worm (Nematodirus)
Cacing hati (liver fluke) juga merupakan ancaman bagi ladang yang terletak di kawasan tanah yang lembab dan berair. Cacing hati hidup menumpang dan bertelur di dalam siput yang menjadi perumah. Telur akan berpindah dari siput ini ke rumput, misalnya rumput Napier yang tumbuh di persekitaran yang lembab dan berair, dan seterusnya berpindah ke dalam perut kambing apabila kambing tersebut memakan rumput. Seterusnya cacing ini akan meneruskan hidupnya dan membiak di dalam organ hati ternakan yang dijangkiti itu.
Rawatan
Ubat-ubatan yang dicadangkan untuk kumpulan cacing di atas:
1. Ubat suntikan dari famili "Mectins" - ivermectin, dectomax, dll
2. Jenama Cidectin (juga dari famili "Mectins") - cecair sapuan pada kulit ternakan
3. Fenbendazole
4. Jenama NILZAN Broadspetrum
5. Jenama CHAN Broadspectrum
Pencegahan
Sebagai langkah pencegahan, adalah dicadangkan supaya ubat-ubat di atas diberikan secara sekali gus kepada kesemua ternakan di kandang dan secara berkala, contohnya sekali setiap 3 bulan. Pemberian ubat harus tidak kurang dari dos yang ditetapkan. Pemberian secara 'underdose' boleh menyebabkan cacing membina daya ketahanan terhadap ubat yang diberikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan komen anda disini