Kenali Kerbau


Kerbau atau secara lebih tepatnya kerbau bela jinak Asia (Bubalus bubalis) merupakan sejenis haiwan bovid besar yang berasal dari Asia SelatanAsia Tenggara, dan China. Kini spesies ini juga ditemui di EropahAustraliaAmerika UtaraAmerika Selatan dan beberapa buah negara AfrikaKerbau liar (Bubalus arnee) yang juga berasal dari Asia Tenggara dikira spesies berbeza, tetapi paling berkemungkinan mewakili leluhur kepada kerbau ternakan.

Dikenalpastinya dua jenis kerbau ekstan berasaskan kriteria morfologi dan kelakuan, iaitu kerbau sungai dari Asia Selatan ke barat hingga rantau Balkan, Mesir, dan Itali, dan kerbau paya yang ditemui dari Assam di barat melalui Asia Tenggara hingga Lembah Yangtze, China di timur. Dibahaskan asal-usul setiap jenis kerbau, namun hasil kajian filogenetik menunjukkan bahawa jenis paya mungkin berasal dari China dan dibela jinak kira-kira 4,000 tahun dahulu, sedangkan jenis sungai mungkin berasal dari India dan dibela jinak kira-kira 5,000 tahun dahulu. Kerbau diperdagangkan dari Tamadun lembah Indus ke Mesopotamia, di Iraq moden, oleh suku Meluhha pada 2500 SM. Mohor katib upahan raja Akkad memaparkan upacara pengorbanan kerbau.
Wujud sekurang-kurangnya 130 juta ekor kerbau bela jinak, dan lebih ramai orang yang bergantung pada kerbau daripada mana-mana haiwan bela jinak yang lain. Kerbau sesuai khusus untuk membajak sawah, dan susunya lebih kaya dengan lemak dan protein daripada lembu susu. Terjadinya kawanan kerbau jalang di Australia Utara sejak abad ke-19, malah juga terdapat kawanan jalang lain di New Guinea, Tunisia, dan Amerika Selatan.
Ciri-ciri
Kerbau hitam kulitnya, tetapi ada yang kulitnya berwarna biru loh tua. Kerbau paya kelabu ketika lahir tetapi tumbuh menjadi kulit biru loh. Juga terdapat kerbau balar.
Kerbau sungai panjang muka, kecil lilitan, dan besar kakinya berbanding kerbau paya. Rabung belakangnya menjangkau jauh ke belakang dan menirus dengan lebih beransur-ansur. Tanduknya tumbuh menurun dan ke belakang, kemudian melengkung ke atas secara pilin.
Kerbau paya berbadan berat dan sasa; badannya pendek dan perutnya besar. Dahinya rata, matanya menonjol, mukanya pendek, dan muncungnya lebar. Lehernya agak panjang, sementara kelasa dan punggungnya cembung. Rabung belakangnya menjangkau ke belakang dan berakhir dengan mendadak hampir di hujung dada. Tanduknya tumbuh ke luar dan melengkung menjadi separuh bulatan, tetapi sentiasa kekal dalam lingkungan satah dahi.
Ekornya pendek, hanya sampai di keting. Tinggi kelasanya 129–133 cm (51–52 in) untuk jantan, dan 120–127 cm (47–50 in) untuk betina. Beratnya dalam julat 300–550 kg (660–1,210 lb), tetapi juga pernah dicatatkan berat melebihi 1,000 kg (2,200 lb).
Tedong bonga merupakan kerbau berwarna hitam putih yang digemari oleh kaum Toraja di Sulawesi.
Kerbau paya ada 48 kromosom; kerbau sungai pula 50 kromosom. Kedua-dua jenis tidak mudah saling membiak kacuk, tetapi boleh jadi anak subur. Tidak pernah diperhatikan jadinya kerbau-lembu, tetapi embrio bagi kacukan sedemikian mencapai kematangan di ujikaji makmal, itupun pada kadar yang rendah daripada bukan kacukan.
Rumen kerbau ketara bezanya daripada haiwan-haiwan ruminan yang lain kerana terdapat lebih banyak bakteria, terutamanya yang selulolitik, kurangnya protozoa, dan lebihnya zoospora kulat. Selain itu, terdapat ammonia nitrogen (NH4-N) rumen dan pH yang lebih tinggi berbanding lembu


Ekologi dan kelakuan
Kerbau berkubang dalam lumpur.
Kerbau sungai menggemari air dalam. Kerbau paya pula lebih suka berendam dalam kubang lumpur yang digali sendiri dengan tanduknya. Ketika berkubang, ia memakai selaput lumpur yang tebal. Kedua-dua jenis cukup sesuai untuk hidup di iklim panas dan lembap dengan suhu dari 0 °C (32 °F) pada musim sejuk hingga 30 °C (86 °F) ke atas pada musim panas. Di iklim-iklim yang panas mesti ada air kerana kerbau memerlukan kubang, sungai atau air percik untuk membantu mengawal suhu badan. Sesetengah baka tersesuai untuk pinggir pantai air masin dan rupa bumi berpasir masin.

Pemakanan 
Kerbau hidup dengan pelbagai tumbuhan air ketika banjir dengan meragut sambil menyelam, lalu mendongak ke luar air sambil menggondol secukup tumbuhan yang boleh dimakan. Kerbau makan mensiang, keladi bunting, Arundo donax, (sejenis Cyperaceae) dan Juncaceae. Sesetengah tumbuhan ini amat bernilai bagi orang tempatan. Yang lain seperti keladi bunting menyusahkan di sesetengah lembah tropika dan kerbau boleh digunakan untuk mengemaskan jalan air.

Foder hijau meluas digunakan untuk pengeluaran susu intensif serta penggemukan. Banyak tanaman foder yang disimpan sebagai rumput kering, dicencang atau dilenyek. Foder termasuk alfalfa, daun, batang atau reja-reja pisang, ubi kayu, petai belalang dengan kenaf, jagung, oat, pandan, kacang tanah, betari, kacang soya, tebu, dan sebagainya. Pupla limau dan sisa nenas dapat selamat disuapkan kepada kerbau. Di Mesir, buah kurma jemur penuh disuapkan kepada kerbau susu sebanyak 25% daripada campuran suapan piawai.
Pembiakan
Kerbau paya pada umumnya mula dapat membiak lebih lewat daripada kerbau sungai. Jantan muda di Mesir, India, dan Pakistan mula-mula dikawankan dalam umur 3.0–3.5 tahun, tetapi di Itali ia boleh digunakan seawal umur dua tahun. Kelakuan mengawan yang berhasil boleh berterusan sehingga kerbau itu menecah umur 12 tahun. Seekor kerbau sungai jantan yang bagus dapat membuntingkan 100 ekor betina dalam setahun. Terdapat pengaruh bermusim yang kuat terhadap pengawanan. Tekanan haba mengurangkan libido.
Biarpun kerbau poliestrus, namun keefisienan pembiakannya amatlah berbagai-bagai sepanjang tahun. Kerbau betina menunjukkan perubahan musim yang ketara dalam estrus, kadar penyuburan dan kelahiran anak. Umur betina pada estrus pertama berbeza-beza antara baka dalam 13–33 bulan, tetapi mengawan pada estrus pertama selalunya tidak subur dan selalunya tertangguh hingga usia tiga tahun. Gestasi dalam 281–334 hari. Kerbau paya mengandungi anak seminggu dua lebih lama daripada kerbau sungai. Tidak jarang ditemui kerbau yang bekerja baik sehingga umur 30 tahun, malah tercatatnya juga kerbau yang 40 tahun bekerja.


Tujuan penternakan Kerbau
Kerbau diternak mengikut tujuan pembelaannya. Kebanyakannya dibela oleh orang yang mengusahakan ladang kecil-kecilan. Maka kerbau hidup rapat sekali dengan tuannya dan sering dijadikan aset modal paling utama. Di India, kaum perempuan menjaga kerbau susu sementara lelaki menjaga kerbau kerja. Di seluruh Asia, kerbau sering dijaga oleh kanak-kanak yang selalu memimpin atau menunggang kerbau ke tempat kubang.
Kerbau sesuai untuk kerja di lumpur dalam sawah kerana telapuknya besar serta sendi paha yang fleksibel. Kerbau bergelar "traktor hidup rantau timur". Boleh jadi kerbau membajak lebih dalam daripada lembu mahupun kuda. Kerbaulah kaedah pembajakan sawah kecil yang paling cekap dan murah. Di kebanyakan negara pengeluar beras, kerbau digunakan untuk membanting dan mengangkut gelendong takal sewaktu musim menuai.
Kerbau menjana tenaga untuk kilang biji minyak, pemerah tebu, dan alat-alat mengangkat air. Kerbau sering dijadikan haiwan pengangkut, apatah lagi di India dan Pakistan untuk mengangkut berat-berat. Ketika menyerang Eropah, Turki zaman dahulu menggunakan kerbau untuk mengangkut kayu pelantak yang berat-berat. Tahinya dijadikan baja, bahkan bahan api apabila dijemur.
Kerbau menyumbangkan 72 juta tan susu dan 3 juta ton daging setahun kepada makanan dunia, dan kebanyakan daripada itu di tempat-tempat yang sering mengalami ketakseimbangan zat. Di India, kerbau sungai dibela khas untuk pengeluaran susu daripada pengangkutan, sementara kerbau paya dibela khas untuk pengangkutan daripada susu.
Susu
Susu kerbau mengandungi ciri-ciri fizikokimia yang berbeza daripada spesies ruminan lain, seperti kandungan asid lemak dan protein yang lebih tinggi. Susu kerbau paya dan sungai ada bezanya dari segi fizikal dan kimia. Susu kerbau lebih tinggi kandungan jumlah pepejal, protein mentah, lemak, kalsium, dan fosforus, serta kandungan laktosa yang lebih tinggi sedikit daripada susu lembu. Tahap jumlah pepejal yang tinggi menjadikan susu kerbau sesuai untuk diproses kepada hasil tenusu tambah nilai seperti keju. Kandungan asid linoleik berkonjugat (CLA) dalam susu antara 4.4 mg/g lemak pada bulan September hingga 7.6 mg/g lemak pada bulan Jun. Perubahan musim dan genetik mungkin mempengaruhi variasi tahap CLA dan perubahan dalam komposisi kasar susu kerbau.
Susu kerbau diolah menjadi pelbagai jenis hasil tenusu:
-Krim digodak lebih cepat pada kandungan lemak tinggi, lebih cepat cair daripada krim lembu.
-Mentega dari krim kerbau kelihatan lebih stabil daripada krim lembu.
-Minyak sapi dari susu kerbau lebih besar butirnya daripada minyak sapi lembu.
-Hasil susu pekatan haba di Asia Selatan termasuk: paneer, khoa, rabri, kheer and basundi.
-Hasil susu tapai termasuk dahi, yogurt, dan chakka.
-Whey digunakan untuk membuat ricotta dan mascarpone di Itali, alkarisy di Syria dan Egypt.
-Keju lembut termasuk mozzarella di Itali, karish, mish, dan domiati di Mesir, madhfor di Iraq, alghab di Syria, kesong puti di Filipina, dan vladeasa di Romania.
-Keju setengah keras beyaz peynir dibuat di Turki.
-Keju keras termasuk braila di Romania, rahss di Mesir, white brine di Bulgaria, dan akkawi di Syria.
-Susu kerbau dibubuh air menjadi pengganti susu biasa yang lebih murah


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komen anda disini

IBADAH KORBAN DAN BEBERAPA ISU SEMASA YANG BERKAITAN DENGANNYA

PENDAHULUAN Ibadah korban merupakan satu ibadah yang amat mulia di sisi Allah s.w.t. Di dalamnya terkandung banyak hik...