HARAM -Ternakan Yang Mengganggu Dan Menyebabkan Kemalangan dan mendatangkan Bahaya kepada Awam


Mengikut hukum fikah, cara menternak haiwan secara dibiarkan bebas merayau menyebabkan gangguan kepada orang ramai dan mendatangkan bahaya adalah haram. Maka hasil daging atau jualan ternakan itu juga adalah haram.


Rezeki daripada hasil haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Setiap suapan makanan yang tidak halal diisi ke perut akan memberi kesan kepada nilai dan kualiti hidup seseorang.

Ajaran Islam amat mementingkan agar setiap penganutnya hanya memakan atau menggunakan sumber yang diperoleh secara halal.
  
Banyak penternak yang melakukan perbuatan salah itu sejak berpuluh-puluh tahun. Hasil daripada menjual ternakan yang diternak secara bebas itulah digunakan untuk menyara keluarga. Malah, hasil kerja itulah juga digunakan untuk menunaikan fardu haji.

Penternak yang melakukan perbuatan salah di sisi agama itu harus disedarkan mengenai kesilapan yang dilakukan agar mereka berubah tidak lagi meneruskan cara penternakan yang tidak mengikut lunas syarak.


Firman Allah bermaksud: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah al-Baqarah, ayat 172).

Ikhtibar kisah Imam Shafie. Pada suatu hari, Imam Shafie mengadu kepada ibunya mengapakah fikiran dan daya hafalan pada hari agak lembap. Ditanyakan kepada ibunya adakah makanan atau minuman yang dimakan pada hari itu dari sumber haram atau tidak bersih.
  
Lantas ibunya teringat bahawa susu kambing yang diminum oleh Imam Shafie sebelum pergi belajar 'tercemar' disebabkan sehari sebelum itu kambing yang diperah susunya itu terlepas dan meraya-rayau meragut rumput di tanah milik orang lain.  

Itu kes terlepas dan tidak sengaja. Masa ternakan itu terlepas hanya sehari dan hanya makan rumput milih orang lain, bukannya makan hasil tanaman orang lain. Tetapi, lihatlah kesan yang mencemarkan hati Imam Shafie.
  
Fikirkan pula mengenai kedudukan ternakan yang dibiarkan lepas dari kecil sampai besar. Merayau merata tempat dan meragut hasil tanaman orang. Semua orang mencemuh dan merungut. Terlalu banyak kemudaratan yang terpaksa ditanggung oleh orang lain akibatnya.
  
DALAM masyarakat kita amat mementingkan apakah jenis haiwan halal dimakan. Malangnya, banyak individu dalam masyarakat kita yang tidak begitu sensitif atau tidak mengambil berat soal bagaimana haiwan itu diternak sehingga dagingnya boleh dimakan.

Diperhatikan, banyak haiwan ternakan seperti kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik diternak tanpa pengawasan sepatutnya. Lembu dan kerbau dibiarkan bebas tanpa ditambat atau diletakkan di dalam kandang.

Haiwan ternakan itu merayau masuk ke kawasan kebun merosakkan hasil tanaman milik orang lain. Banyak kerugian terpaksa ditanggung pemilik kebun. Penternak ambil mudah asalkan haiwan ternakannya dapat makan dan terus membesar serta membiak.

Selain itu, haiwan ternakan yang dibiarkan bebas akan mengeluarkan najis di merata tempat yang menyebabkan rasa tidak senang hati penduduk. Halaman rumah, jalan raya dan tempat orang ramai berkumpul banyak dicemari najis binatang ternakan yang dibiarkan bebas merayau.
  
Pemiliknya sekadar buat tidak kisah dan tidak rasa bersalah dengan keadaan itu. Malah, jika ditegur, pemilik ternakan dengan selamba saja menjawab memang sudah sifat ternakan membuang najis merata-rata.

Sebab itu banyak kes bergaduh sesama jiran berpunca masalah berkaitan haiwan ternakan dibiarkan merayau bebas. Ada pergaduhan yang membawa kepada penggunaan senjata hingga membabitkan kehilangan nyawa.
Satu lagi kejadian buruk yang sering berlaku ialah banyak kes kemalangan jalan raya berpunca terlanggar ternakan yang dibiarkan berkeliaran. Kemalangan itu mendatangkan banyak kerugian kepada pemilik kenderaan. Malah, banyak kes kemalangan kenderaan dengan haiwan ternakan menyebabkan kematian pemandu dan penumpang.
  
Ironisnya, penternak sedemikian tidak pula rasa bersalah dengan kejadian itu. Ternakan masih lagi dibiarkan merayau bebas yang kemungkinan akan berlaku lagi kemalangan jalan raya membabitkan haiwan ternakannya.


Sikap tidak bertanggungjawab pemilik haiwan ternakan itu bertentangan dengan tuntutan syariat. Sikap jahil ini bukan saja dilakukan penternak yang sememangnya jahil soal agama, bahkan di kalangan mereka yang berstatus guru agama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komen anda disini

IBADAH KORBAN DAN BEBERAPA ISU SEMASA YANG BERKAITAN DENGANNYA

PENDAHULUAN Ibadah korban merupakan satu ibadah yang amat mulia di sisi Allah s.w.t. Di dalamnya terkandung banyak hik...