Sistem Pawah!! Kalau Lembu Sado yang dipawah Mati siapa yang Bertanggungjawab? Pemilik atau Penjaga



*Jenis Akad

SAYA merancang untuk membeli beberapa ekor anak lembu . Anak - anak lembu tersebut akan dijaga oleh seorang penggembala di kampung saya . Dengan cara ini , saya dapat menunaikan ibadah korban dengan kadar yang lebih rendah dan kerap . Apakah akad yang sepatutnya saya laksanakan dengan penggembala tersebut ?

Pertama sekali , tahniah saya ucapkan atas perancangan yang saudara lakukan demi melaksanakan ibadah korban yang sangat dituntut syarak . Tidak ramai antara kita yang merancang untuk melaksanakan ibadah khusus sebegini rupa . Sedangkan dalam urusan - urusan lain , kita selalunya membuat perancangan yang sangat teliti .
Saya andaikan penggembala tersebut akan mendapat bayaran daripada pihak saudara atas kerjanya . Atas dasar ini , maka akad yang bersesuaian adalah ijarah al - ashkhas ( upah berdasarkan pekerja) atau ijarah ‘ala al - ‘ amal ( upah berdasarkan pekerjaan ) .
Akad ini secara ringkasnya membawa maksud bahawa seseorang diupah untuk melaksanakan khidmat dan kerja tertentu . Dalam konteks soalan saudara , maka penggembala tersebut dibayar upah oleh saudara untuk menjaga anak - anak lembu saudara .

*Upah dengan Anak Lembu

Praktik yang biasa dilakukan di kampung saya semasa saya kecil - kecil dahulu , anak lembu pertama yang dilahirkan akan diberikan kepada penggembala sebagai upah . Jadi saya bercadang untuk berbuat demikian . Apa hukumnya ?

Secara prinsipnya , upah hendaklah dalam bentuk yang dimaklumi kadarnya dan tidak akan menimbulkan persengketaan antara pihak- pihak yang berkontrak pada masa hadapan. Upah itu boleh berbentuk wang, barangan , manfaat atau khidmat . Saya berpandangan bahawa upah dalam bentuk anak lembu yang akan lahir pada masa hadapan adalah tidak bertepatan dengan syarat- syarat upah yang digariskan syarak .
Ini kerana terdapat unsur gharar ( kesamaran atau ketidaktentuan ) . Boleh jadi kelahiran itu akan benar -benar berlaku atau sebaliknya. Jika pun ia berlaku , terdapat juga ketidaktentuan . Boleh jadi anak lembu yang dilahirkan itu normal dan cukup sifatnya atau sebaliknya. Ketidaktentuan ini boleh menimbulkan persengketaan antara saudara dan penggembala tersebut pada masa hadapan. Justeru keadaan ini hendaklah dihindarkan daripada awal lagi .

Alternatif Lain
Namun, ada cara yang betul jika saudara tetap ingin menjadikan anak lembu itu sebahagian daripada upah . Sebagai contoh, saudara boleh berpakat dengan penggembala tersebut atas kadar upah tertentu yang akan dibayar pada akhir tempoh penggembalaan. Jika ada anak lembu yang dilahirkan , maka ia diberikan kepada penggembala dengan nilai anak lembu itu ditolak daripada jumlah upah tunai yang akan diperolehnya nanti .
Dengan cara yang dicadangkan di atas , saudara boleh memanfaatkan anak lembu yang lahir untuk dinilai dan dijadikan sebagai sebahagian daripada upah . Namun jika tiada anak lembu yang lahir , maka penggembala tersebut tetap diberikan upah sebagaimana yang disepakati . Dengan kata lain , penggembala tidaklah dizalimi . Tidaklah penat - penat dia menggembala, tetapi tidak dapat upah disebabkan tiada anak lembu yang lahir .

*Perbelanjaan untuk Haiwan

Saya menetap di Kuala Lumpur , kampung saya pula di Kelantan . Bagaimana dengan soal makanan , ubat -ubatan dan perkara - perkara lain yang berkaitan lembu tersebut ? Adakah saya wajib menyediakan kesemuanya dahulu ?

Prinsipnya , lembu - lembu tersebut milik saudara . Maka menjadi tanggungjawab saudara menanggung segala perbelanjaan yang berkaitan penjagaan dan kesihatan lembu - lembu tersebut . Namun atas persetujuan bersama , tidak juga menjadi kesalahan jika pihak penggembala yang ingin menanggung perbelanjaan tersebut dahulu . Dalam hal ini , pihak penggembala biasanya telah mengambil kira kos perbelanjaan tersebut dalam jumlah kadar upah penggembalaannya .

*Haiwan Cacat atau Mati

Jika ada lembu yang mati, cedera atau menjadi cacat , siapakah yang sepatutnya menanggung kerugian ini ?

Pihak penggembala tidak harus dipertanggungjawabkan melainkan perkara - perkara yang tidak diingini tersebut berlaku atas kecuaian , penganiayaan atau menyalahi syarat- syarat yang telah dipersetujui bersama .
Contoh kecuaian : Penggembala tidak memberi makan kepada lembu - lembu tersebut mengikut adat kebiasaan sepatutnya .
Contoh penganiayaan: Penggembala sengaja melibas muka lembu hingga menyebabkannya buta .
Contoh menyalahi syarat: Asalnya disyaratkan dan dipersetujui bahawa lembu - lembu tersebut tidak boleh digembala berdekatan jalan raya, namun pengembala membawanya ke jalan raya. Akibatnya ada lembu yang dilanggar hingga mati .
Dalam hal - hal seumpama ini , penggembala bolehlah dipertanggungjawabkan untuk membayar ganti rugi yang sewajarnya .


*Haiwan Sebagai Cagaran

Di kampung saya itu juga , penggembala biasa meminta tuan lembu supaya menjadikan lembu - lembu sebagai cagaran . Jadi sekiranya upahnya gagal dibayar mengikut persetujuan , lembu - lembu tersebut akan dijual dan hasilnya diambil sebagai ganti . Apakah ini dibenarkan?

RINGKASNYA : Ya.
HURAIAN : Secara prinsipnya , cagaran ialah suatu akad sokongan ke atas akad asal yang dimeterai antara saudara dan penggembala . Hukum asalnya adalah harus . Lembu - lembu tersebut boleh dijadikan bahan cagaran . Hal ini berdasarkan kaedah umum fiqah bahawa apa jua yang boleh dijadikan subjek jual beli maka ia juga boleh dijadikan sebagai subjek cagaran .

PERINGATAN : Namun perlu diingatkan bahawa penggembala hanya boleh mengambil jumlah upah yang berbaki sahaja . Misalnya , jika jumlah upahnya RM 2000 dan lembu tersebut dijual dengan harga RM 2500 , maka RM 500 hendaklah dipulangkan kepada pemilik lembu . Sebaliknya jika hasil jualan lembu lebih rendah daripada hutang , maka penggembala masih lagi boleh menuntut baki jumlah yang terhutang daripada tuan lembu tersebut .

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian , proses jualan barang cagaran hendaklah memenuhi syarat -syarat yang ditetapkan syarak .

TAMBAHAN: Tuan lembu juga sebenarnya boleh dengan persetujuan penggembala , mengambil cagaran daripadanya ( penggembala ) untuk menangani kemungkinan lembu - lembu saudara ditimpa musibah disebabkan kecuaian , penganiayaan atau pelanggaran syarat .

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komen anda disini

IBADAH KORBAN DAN BEBERAPA ISU SEMASA YANG BERKAITAN DENGANNYA

PENDAHULUAN Ibadah korban merupakan satu ibadah yang amat mulia di sisi Allah s.w.t. Di dalamnya terkandung banyak hik...